APRIL 2022

Ekonomi Baru Perkenal Sarawak Di Mata Dunia


SIBU: Sebagai Ketua Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang diberi mandat besar rakyat Sarawak pada Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN12) Sarawak dan disokong oleh rakan-rakan dalam Kabinet, saya telah membawa rakyat mengorak langkah yang agak berani ke arah ekonomi bentuk baharu yang berteraskan teknologi,” jelas Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr.) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg. 

Katanya lagi, menerusi ekonomi bentuk baru itu akan meletakkan Sarawak pada tahap tertinggi pada hari ini. 

“Sarawak, seperti negara-negara lain yang sudah maju seharusnya menggunakan teknologi untuk meletakkan ekonominya pada tahap yang tertinggi berdasarkan bidang-bidang keilmuan masa kini,” katanya. 

Beliau berkata demikian dalam Majlis Sambutan Nuzul Al-Quran Peringkat Negeri Sarawak Tahun 1443H/2022M di Masjid An-Nur Sibu pada Isnin. 

Dalam perkembangan sama, Premier Sarawak turut memberitahu  sejak mengambilalih tampuk kepimpinan Kerajaan Sarawak pada awal 2017, beliau telah meneroka ekonomi baru dengan mengadaptasinya ke atas negeri ini. 

Hasilnya, ekonomi Sarawak kini berjaya menarik pelaburan luar negara dan usaha Sarawak telah membuka mata banyak negara tentang kepentingan ekonom baru hari ini. 

“Minggu hadapan saya akan berucap di Singapura dan pada awal bulan Mei saya akan berucap di Rotterdam, Belanda mengenai ekonomi bentuk baharu yang menjadi matlamat Sarawak dan matlamat seluruh dunia yang maju,” ujarnya. 

Hadir sama Tuan Yang Terutama (TYT) Yang DiPertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud dan isteri Toh Puan Ragad Kurdi Taib, isteri Premier Sarawak Puan Sri Datuk Amar Juma’ani Tun Tuanku Bujang Timbalan Menteri I Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak Dr Annuar Rapaee, Timbalan Menteri Utiliti dan Komunikasi (Utiliti) Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi, Senator Robert Lau Hui Yew, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Transformasi Sosio-ekonomi) Dato Sri Mohamad Abu Bakar Marzuki dan Yang Di Pertua Majlis Islam Sarawak Datuk Misnu Taha. -EDISI UKAS

Sumber dari : UKAS